Wednesday, July 12, 2006

Debat: Sila hantar surat segera - Nik Aziz ‎

Sun Apr 09, 06 03:24:44 PM Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

PERTAMANYA, saya wajar mengucapkan terima kasih di atas pelawaan Menteri Penerangan menjemput saya ke Debat Perdana. Beliau menjemput saya kerana Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan telah terlebih dahulu menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan saya. Itu pun di atas tajuk RMK9. Ertinya, jika dalam 'survey' awal itu, katakan Annuar Musa enggan, tentu Dato’ Zainudin tidak akan menghulur turun tangga jemputan agar saya naik ke Angkasapuri untuk bersama menyelami rahsia RMK9.

Persoalan kedua, apa sangatlah yang rahsianya mengenai RMK9. Ia adalah penerusan RMK8, RMK7 dan RMK6. Ia cerita memperuntukkan sejumlah wang lima tahun sebuah Rancangan Pembangunan Malaysia. Ini soal rutin. Pergilah ke mana-mana negara sekalipun. Ia normal. Sejak saya menjejakkan kaki saya di parlimen di tahun 1967, saya sudah tahu apa itu Rancangan Lima Tahun . Ketika itu, saya tak tahulah orang yang nak di suakan kepada saya itu sedang berada di mana.

Ketiga, mana ada rancangan pembangunan lima tahun mana-mana negara yang tidak ada pernyataan visi, misi, angka-angka peruntukan dan pasukan pelaksana dalam satu rangka peralihan paradigma berikutan dengan berlakunya perubahan masa, waqi’ dan suasana? Paradigma itu pula akan menetap dan mendefinisi sempadan dan menentukan bagaimana jentera kerajaan serta rakyat harus bertindak untuk berjaya (how to behave inside the prescribed boundaries) dalam sebuah rancangan Lima Tahun itu. Itu saja. Selebihnya ialah soal pemantauan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.

Di tengah-tengah tempoh pelaksanaan itulah pula ghalibnya, rakyat akan di sumbat dengan leteran-leteran pemimpin yang bercakap besar. Kemudian, di hujung pelaksanaan Rancangan-Rancangan Malaysia itu pulalah, kita lazimnya akan dikejutkanlah dengan angka-angka kegagalan. Pemimpin Umno pun mulalah buat-buat menunjukkan muka prihatinnya yang kononnya sangat terkejut, berkedut dan berkerut. Lalu, dibuatlah pula kajian separuh penggal untuk nantinya dijadikan ulam rangup dalam Perhimpunan Agung Umno.

Buat-buat bising sikit. Tunjuk-tunjuk keris sikit. Laung kuat-kuat sikit, sumpah keramat “takkan Melayu hilang di dunia”. Minum-minum. Ketawa-ketawa. Berdamai semula Pemuda, Puteri dan Wanita. Bersalaman. Kemudian, balik lipat-lipat selendang dan ulang kerja yang sama. “Tender ini, kita nak bagi pada sapa. Dia orang kita atau bukan orang kita”. Umnoputra lagilah. Di tahun 2020 nanti, kita akan masih di sini lagilah!

Pada saya, berdebat atas perkara cabang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Pada saya, RMK9 adalah perkara cabang. Ia ranting dan bukan pokok kepada ranting. Lihat saja kandungan persoalan yang di bawa oleh Nabi Ibrahim 'alaihissalam misalnya. Pertanyaan Ibrahim berbunyi, “apa yang tuan-tuan sembah?” Ibrahim tidak menyertai Namrud, bahkan tidak dijemput pun dalam debat tentang bagaimana nak membangun dan berebut-rebut harta karun ketika berjuang?

Pada saya, masalah Malaysia ialah masalah yang lebih besar. Ia adalah masalah akidah dan keimanan yang lebih tunjang. Malaysia beriman dengan apa dan bertuhankan siapa? Ini perkara pokok yang tiada kompromi. Ia perlu dimuzakarahkan dan diceramahkan segera.

Kelirukan persoalan pokok inilah yang membawa Malaysia meraih malapetaka demi malapetaka di sepanjang Rancangan Rancangan Lima Tahunnya.Sudah hampir 45 tahun begitu dan malangnya kita sekali lagi digesa untuk menyertai debat di atas tajuk yang sama. Kesan akhirnya, kita boleh lihat. Itu-itulah juga. SERUPA. Bahkan semakin menjunam.

Jika ikut bahasa orang korporat ia di sebut, “the bottom line is still the same.” SAMA. Malaysia yang serba ketinggalan. DEB yang kegagalan. Ekuiti Melayu yang sangat mendukacitakan. Pengangguran melibatkan puluhan ribu graduan. Wang PPRT yang lesap dibaham. Minyak naik pagi dan petang. Inflasi merata di pekan dan bendang. Ada sejuta penagih dadah yang majoritinya anak Melayu dari kumpulan marhean dan elit bangsawan.

Demikian juga dengan seriusnya pengidap AIDS sehingga terpaksa diedar percuma kondom dan jarum. Sumbang mahram. Dakwaan usus babi di dalam sosej. Fenomena zina yang kronik dan gaya hidup gay yang berkembang. Gejala murtad yang mengorbankan hampir 250 ribu anak-anak orang Islam. Buang anak di merata-rata. Negara di isytiharkan Islam tetapi pelaksanaan hukum hudud ditolak. Bahkan, disaman oleh siapa lagi jika tidak oleh pemimpin Umno yang sangat kemelayuan. Dedah. Rasuah dan belasah. Senarai kegagalan negara di bawah teraju Umno tidaklah terbilang !

Pendek kata begini sajalah. Saya akan sanggup berceramah secara bersama di pentas yang sama dengan Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Zainudin Maidin atau Annuar Musa atau sesiapa saja; baik di rumah mereka atau di rumah saya atau di rumah orang. Jika perlu di padang sekalipun, maka sila tetapkan di mana-mana padang. Saya sangat bersetuju jika ia di siarkan “live” oleh RTM. Jangan ada potong-memotong. Kita berkeris secara gentlemen.

Saya tidak boleh bersetuju dengan debat yang ada pengerusi. Lebih-lebih lagilah jenis pengerusi yang sama-sama dapat kita saksikan sekarang dalam Rancangan-Rancangan Debat Perdana. Tuan-tuan lebih arif maksud saya ini.

Saya dengan ini telah menyatakan kesediaan saya untuk berceramah di atas tajuk “Dasar dan Akidah Sesebuah Negara”. Sekarang, saya telah nyatakan hujah dan rasional saya. Sekarang, bola sudah kembali ke kaki Sdr Zainudin. Saya sedang berdiri di atas padang mulai sekarang. Sila hantarkan surat jemputan

Monday, July 10, 2006

Saya tak minat politik

Mutaakhirin ini, walaupun sudah berpuluh tahun perkara ini dibahaskan, dibalahkan dan diperdebatkan, namun masih ada yang tidak memahami, samada yang sememangnya tidak faham, tidak mahu ambil faham dan ada yang melihat ia sebagai sesuatu yg buruk, penuh sepak terajang, caci mencaci dan sebagainya.
Ini antara sebab apabila ditanyakan mengenai politik, spontan mereka akan menjawab saya tak minat politik. Apabila tidak minat, mereka ini melihat ia sebagai sesuatu yang tidak wajib diambil tahu dan tidak perlu diambil tahu kalau tiada minat, seolah-olah ia adalah suatu hobi sedangkan sebenarnya ia suatu tuntutan kewajipan ke atas individu yang mukallaf dalam memilih dan menentukan kepimpinan negara samada yang bakal naik itu pemimpin yang adil ataupun pemimpin yang zalim, samada negara itu diperintah mengikut kehendak Al-Quran atau tidak, ia adalah sebesar-besar urusan umat dan berdosa mengabaikannya.
Politik dengan Agama tidak dapat dipisahkan : Suatu Penjelasan
Politik dengan agama tidak dapat dipisah. Kalau kita baca Fatawa yang dikeluarkan oleh Prof.Dr.Syeikh Yusuf Qardhawi bahawa memisahkan agama islam daripada politik ini boleh menyebabkan seseorang itu rosak aqidah.
Parti politik juga tidak boleh dipisah dengan agama. Islam menggangap semua perkara ada kaitannya dengan agama. Makan minum ada kaitan dengan agama, bercakap ada kaitan dengan agama, memerintah ada kaitan dengan agama, parti ada kaitan dengan agama, berkahwin ada kaitan dengan agama. Cuba bagitahu apa perkara yang tidak ada kaitan dengan agama.
Politik dalam bahasa arab disebut Siasah. Dalam Al-Quran disebut, dalam Hadith disebut. Dalam ayat 30 Suratul Baqarah. Ayat 30 Allah Taala berfirman yang bermaksud “ Ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku akan menjadikan seorang Khalifah di atas muka bumi “
Apa makna Khalifah ? Khalifah ataupun Khilafah. Makna Khalifah ditafsirkan oleh Para Ulama’, di antaranya Ibnu Khaldun menyebut dalam Kitabnya Al-Muqqadimah. Al-Imam Al-Mawardi, seorang Ulama besar dalam Mazhab Syafei menyebut dalam Kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyah, makna Khalifah ialah Khilafatun Nubuwah, Fi Hirasati Deen, Wa Siasati Dunya Bih.
Makna Khalifah ialah Pengganti Nabi dari segi menjaga ugama dan memerintah dunia dengan agama, mentadbir dunia dengan agama.
Sekali lagi diulangi, politik ini disebut dalam Al-Quran dan disebut dalam Hadith Nabi.“ Bani Israil itu, yang menjadi pemimpin politik mereka ialah nabi-nabi mereka, apabila seseorang nabi itu wafat, Allah gantikan nabi yang lain, begitulah seterusnya, sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Muhammad, Nabi akhir zaman, dia adalah Rasul dan dia adalah pemimpin negara. “
Petikan Ucapan ADUN Meranti, YB Ustaz Mohd Nassuruddin Haji Daud ( Sidang Dewan Negeri )

Hentikan Debat Islam Hadhari ‎

Seruan dalam ruang Agama Mingguan Malaysia yang menganjurkan semua pihak “hentikan debat mengenai slogan dan istilah Islam Hadhari” benar-benar mengesahkan bahawa istilah itu telah mencetuskan banyak kekeliruan dan syak akan maksud dan tujuannya.

Kita sangat boleh bersetujulah dengan kenyataan Dr. Ismail Ibrahim yang berbunyi, “Islam itu satu, iaitu satu agama yang datangnya daripada Allah untuk umat manusia seluruhnya, bukan untuk orang Inggeris atau Melayu, atau Arab dan orang Afrika, bukan untuk orang UMNO atau PAS.” (Mingguan Malaysia 4 Julai 2004). Inilah pun yang selalu saya tegaskan. Saya boleh sahkan juga di sini bahawa apa yang dipetik oleh Dr. Ismail dengan mengambil kata-kata saya yang berbunyi, “Islam itu merangkumi Islam dan iman iaitu Islam di luar dan iman di dalam”adalah benar. Kata-kata saya yang berbunyi, “Islam yang tidak menyebut soal pegangan kepada Al-Quran dan Hadith adalah ditolak” seperti yang dipetik oleh Dr. Ismail selanjutnya juga adalah benar.

Jika semua kenyataan ini adalah benar, maka Islam dari jenis lain, yang tidak mahu sebut Al-Quran dan Hadith tentunya Islam kosmetik. Islam Hadhari cuma bercelak dan berbedak seperti yang diumpamakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Namun, pendapat saya mungkin berbeza sedikit apabila melihat anjuran Dr. Ismail supaya umat Islam menghentikan perbincangan atau perdebatan mengenai Islam Hadhari. Tidakkah berbincang, berbahas dan bermuzakarah adalah semangat Islam? Allah S.W.T. mengizinkan manusia berdebat dan bermuzakarah dalam apa jua perkara. Cuma hakimnya ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan Hadith sebagai sumber pemutus yang qat’in.

Dalam semangat menjelas dan memberikan keterangan, apa yang PAS jadikan motto cuma berbunyi “Membangun Bersama Islam”. Kami tidak berhajat sedikitpun untuk mendefinisi semula Islam. Ia adalah Islam yang satu. Ia wajib asli. Ia mesti original seperti yang dilancarkan oleh Rasulullah S.A.W. kira-kira 1,425 tahun dahulu tanpa tokok tambah. Kita berpuas hati dan redha dengan Islam yang syumul, kamil dan komprehensif dan biar ianya kekal begitu sampai bila-bila. Jika kita perlu bangun, kita perlu bangun bersama dengan Islam. Jika saya pinjam kata-kata Dr. Ismail, “Islam yang hendak diberi kefahaman itu adalah Islam hakiki dan fundamental dimana asas komponennya terdiri dari akidah, syariah dan akhlak.” Inilahpun yang PAS sedang berikhtiar.

Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan telah memindahkan akaun Kerajaan ke dalam Bank Islam. Kerajaan Negeri juga mengeluarkan pekeliling dan kempen bagi menggalakkan amalan penutupan aurat. Kita juga menyediakan sistem pajakan alternatif secara Ar-Rahn. Kita wajibkan semua Rumah Awam Kos Rendah dibina dengan 3 bilik. Kita kawal premis penjualan arak. Kita tutup semua premis judi. Kita adakan kawalan hiburan melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. Kita adakan Yayasan Islam Kelantan dan asaskan sistem pendidikan yang berpaksikan adab, akhlak, ilmu dan amal. Tidakkah usaha-usaha ini di asaskan di atas kesedaran akidah, syariah dan akhlak? Semuanya ini telah kita laku dan akan terus kita ikhtiarkan. Inilah membangun bersama Islam. Kami tidak ‘modify’ Islam atau mengistilahkan Islam dengan tokok tambah yang lain. Islam adalah Islam. Kami cuma menurut, patuh dan mengikut kehendak Islam untuk membangun.

Apa yang menimbulkan kesangsian ialah apabila Islam itu pandai-pandai dijenamakan dengan Islam Madani dan kini Islam Hadhari. Lepas satu jenama ke satu jenama; Islam itu diarak. Islam dibawa berpindah randah tanpa diketahui akan kepentingannya.

Tentunya apa yang mustahak ialah soal amalnya. Sekali lagi saya boleh bersetuju dengan Dr. Ismail yang menekankan faktor ilmu dan pengisiannya. Jika begitu, apa perlunya dipecah-pecahkan Islam kepada hadhari atau non-hadhari? Perlu apa pula dicerai-ceraikan Islam itu kepada pecahan-pecahan yang menyerupai sub-budaya (sub-culture) seperti Islam toleransi, Islam hikmah, Islam dinamik dan Islam Pembangunan. Inipun juga telah dipersoalkan oleh Dr. Ismail dengan kata-kata, apalah bezanya Islam Hadhari dengan Islam dinamik, Islam tamadun dan Islam toleransi?

Kita perlu faham yang setiap sesuatu perlu betul niatnya. Biar ada usul ‘zukhrina’ yang bererti cagaran. Jika suntuk dan kesukaran di akhirat, amal yang dilaksanakan di dunia boleh dijadikan cagaran di hadapan Allah. Islam Hadhari Umno dan negara Islam yang diisytiharkan Umno ini bolehkah dijadikan cagaran? Negara Islam bagaimana jika tanpa apa-apa perubahan? Islam jenis ini yang menghalalkan arak, judi dan tiada halangan untuk bergaula bebas dan mendedahkan aurat dapatkah dijadikan cagaran di akhirat?

Hatta jika di dalam sembahyang yang riak pun tidak diterima oleh Allah kerana rosak niatnya maka bagaimana Islam Hadhari boleh dijadikan sandaran dan tempat bergantung untuk berhujah di hadapan Allah kelak? Niat mesti betul. Struktur mesti betul. Jangan main suka-suka.

Keadaan menjadi semakin kalut apabila Pemimpin UMNO mula di asak dengan pertanyaan. Mereka kelihatan mulai lemas. Mereka cuba mencari ulama’ setempat termasuk dari timur dan barat untuk menghalalkan konsep “hadhari”nya. Kalau hadhari itu bermakna tamadun, maka Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS telah membinanya dalam bentuk tindakan.
Sementara UMNO baru diperingkat cuba menjaja pakej Islam Hadharinya secara “direct selling”di tahun 2004, kami telah jauh berada beratus kilometer di hadapan dalam usaha-usaha pelaksanaan. Tunjukkanlah mana satukah diantara usaha yang dibuat oleh kami bersifat anti tamadun sebagaimana tamadun akhlak yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. Saya tidak ada masalah untuk mendengar kritikan jika ada bukti yang kami membangun dengan mengkhianati sifat-sifat akhlak seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W.

Jika mahu bertahan sangat dengan Islam Hadhari atau Islam tamadun yang kelihatan cuba dipaksa masuk ke kerongkong rakyat, maka kami tidak ada masalah. Kami telah menjadi pelopor sekurang-kurannya sejak dari tahun 1990 lagi. Di masa itu, saya kurang pasti pemimpin UMNO sedang berada di mana! Kini, setelah 15 tahun berlalu, mereka sibuk berhadhari pula.

Belumpun selesai melumatkan usaha penerapan nilai-nilai Islam, dan belumpun reda nafas kerana masih mengah mahu mengislamkan negara yang tidak juga-juga menjadi Islam; kini mereka mahu menjual jenis Islam dalam peket bedak hadhari! Yang kelirunya ialah rakyat. Mereka seakan-akan sengaja melontar bom asap dan dalam kelam asap itulah mereka melakar semula wajah Islam supaya selaras dengan nafsu sekular. Pada saya,Islam Hadhari itu adalah Islam sekular. Ia sejenis Islam yang di bancuh semula oleh Umno untuk memisahkan dunia dari akhirat.

Dalam hal ini, kita sesungguhnya amat kesiankan rakyat khususnya para penjawat awam. Merekalah yang sering menjadi mangsa dan kumpulan sasar untuk disyarahkan. Faham tak faham, itu perkara kedua. Mereka dikurung dalam kem latihan dan pelbagai dewan dan institut kefahaman di segenap ceruk rantau untuk disogok dengan Islam berbaju baru. Debat tidak perlu. Terima saja! Saya sesungguhnya khuatir. Jangan-jangan rakyat lebih faham apa itu Islam sebenar. Mereka lebih arif dari pemimpin Umno. Mereka lebih kenal jenis Islam saduran yang berwajah pepat mainan Umno. Bunganya lebat, wanginya tidak. Pisangnya hangus, masaknya tidak !
TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Bertarikh : 24 Jamadil Awal 1425 / 12 Julai 2004

Monday, July 03, 2006

Tok Guru Menteri Besar



Seminggu dalam kehidupan Tok Guru Nik Aziz

Ketika melihat semula gambar-gambar video yang diambil sepanjang mengikuti pergerakan harian Tok Guru Nik Aziz Oktober lalu, satu imej yang paling ketara dan menonjol mengenai Menteri Besar Kelantan ini ialah solat. Paling banyak gambar beliau solat dirakamkan sepanjang kami mengikuti beliau selama dua minggu itu.

Kami cuba merakamkan pergerakan Tok Guru Nik Aziz yang menjadi rutin kehidupan hariannya dalam seminggu, bermula daripada dia keluar rumah di waktu pagi hinggalah dia pulang ke rumah di waktu malam, iaitu pergerakan yang boleh menjadi perhatian umum - tidak yang bersifat peribadi dan rahsia.

Pergerakan umum Nik Aziz pada setiap hari bermula dengan perjalananya ke masjid untuk solat subuh. Jarak rumahnya dengan masjid sangat dekat. Bumbung masjid dengan bumbung rumahnya hampir bertemu. Daripada tangga pintu depan rumahnya ke tangga pintu khas masjid, seperti yang saya hitung langkahnya berdasarkan gambar video yang dirakamkan pada suatu subuh di bulan Oktober lalu, ialah 19 langkah.

Sekiranya dia berada di rumah, dan dia tidak sakit, pintu depan rumahnya pasti terbuka tidak lama selepas berakhirnya laungan azan subuh, iaitu sebelum pukul 6.00 pagi. Nik Aziz akan melangkah turun dari rumahnya, masuk masjid, dan mengimami jemaah solat subuh.Selepas solat dia membaca wirid atau bacaan selepas solat, yang apabila sampai kepada bacaan ayat Kursi, para jemaah yang di bahagian depan akan bangun untuk berubah tempat, duduk semula mengelilinginya dalam jarak yang sangat dekat. Pergerakan ini berlaku seperti secara otomatis dan cepat.

Mereka yang biasa berjemaah di situ terus melakukannya seperti spontan, sama ada pelajar mahupun orang dewasa. Sudah terbiasa begitu. Selesai ayat Kursi, Nik Aziz pun membuka kitab yang sudah diletakkan di atas rehal di sebelah kanan tempat duduk sembahyangnya. Dia pun memulakan kuliah subuh, yang merupakan kuliah atau ceramahnya yang pertama untuk hari itu.

Ini berlaku pada setiap hari. Seawal itu, Nik Aziz yang kini sudah 11 tahun menjadi Menteri Besar negeri Kelantan, memulakan tugasnya kepada rakyat - mengajar ilmu agama. Seawal jam 6.15 pagi. Begitu dia melakukannya bertahun-tahun sejak belum menjadi menteri besar pada tahun 1990, dan begitulah juga dia melakukannya setelah menjadi menteri besar, sampailah sekarang.Dia terus mengajar begitulah. Setiap hari, selepas solat subuh. Dan kuliahnya itu adalah sebahagian daripada wirid solatnya, kerana dia memulakan kuliah selepas membaca ayat Kursi, dan sebaik saja selesai kuliah dia pun menyambung semula wiridnya, dengan zikir subhanallah? dan seterusnya hingga selesai do'a.

Sebaik saja selesai do'a, para jemaah di sekelilingnya - pelajar mahupun orang dewasa - terus bersalam dan mencium tangannya, seorang demi seorang.Ketika mula-mula menyaksikan adegan ini dulu, saya agak terharu. Kebetulan waktu itu yang ramai mengelilinginya ialah para pelajar SM Darul Anuar - sekolah yang berada hampir dengan rumah Nik Aziz, dan menjadi sebahagian daripada persekitaran rumahnya sejak bertahun-tahun.

Saya membayangkan adegan seperti itu berlaku pada setiap pagi. Saya melihatnya dari segi hubungan intim Tok Guru dengan anak-anak muridnya.Begitu intim sekali. Tiap-tiap subuh, menjadi sebahagian daripada kegiatan solat, mereka duduk rapat mengelilingi Tok Guru, mendengar dia mengajar(walaupun ada yang mengantuk).

Saya tertarik memikirkan mereka itu bangun untuk duduk semula rapat dengan Tok Guru, sedangkan mereka boleh saja menadah telinga mendengar Tok Guru mengajar dari tempat duduk mereka yang asal, tak perlu bangun berubah tempat.Tetapi mereka bangun mengubah tempat untuk duduk rapat dengan Tok Guru. Dan Tok Guru itu (sejak 11 tahun yang lalu) adalah orang yang sama yang menjadi Menteri Besar negeri itu. Jadi, setiap pagi, mereka ber kesempatan duduk dalam suasana yang begitu intim dengan seorang Tok Guru yang juga Menteri Besar.

Tak tahulah bagaimana dan bila mula terjadinya keadaan duduk yang seperti itu. Nik Aziz sendirikah yang mengaturnya demikian, atau bagaimana -itu semua tidak mustahak. Yang mustahaknya, saya melihat keadaan itu agak mempesona. Saya melihat jalinan hubungan yang intim itu terjadi pada setiap pagi. Saya melihat seorang Menteri Besar memulakan harinya dengan mengajar agama, dalam suasana hubungan guru-murid yang begitu intim, selepas mengimami solat subuh.
Dari kacamata filem, adegan ini memang cantik, mempesona, terutama apabila dilihat dari sudut atas (high angle). Dan apabila anak-anak muda itu seorang demi seorang mencium tangan Tok Guru, kita terasa akan kemesraan hubungan guru-murid itu.

Dan saya terfikir - siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin negara, yang memulakan harinya seperti itu - seperti Tok Guru Nik Aziz itu?(Seorang kawan saya di Kota Bharu, Zainuddin, bertanya saya apakah saya mengikuti kehidupan Imam Khomeini? Jawab saya: Tidak, saya tidak mengikuti.Jadi saya tak dapat membuat bandingan.)Setelah itu, Nik Aziz akan berjalan keluar masjid menuju ke rumahnya.

Perjalanan yang kurang daripada 20 langkah itu kadang-kadang terganggu atau dihalang pula oleh kehadiran orang yang hendak bertemu dengannya, sama ada sebagai menteri besar ataupun sebagai Tok Guru.Tidak ada orang yang akan menghalang sesiapa pun yang hendak bertemu dengannya. Semua orang boleh bertemu. Terus saja halang perjalanan dia disitu, dan cakaplah apa-apa pun.
Dia sentiasa bersedia mendengar, dan membantu. Itu pada hari-hari biasa, bukan hari Jumaat. Pada hari Jumaat lain pula keadaannya. Jalan ceritanya belum habis sampai setakat pelajar-pelajar atau makmum mencium tangannya. Ia ada sambungannya lagi.

Jemaah pada subuh Jumaat biasanya lebih ramai daripada hari-hari lain. Bukan sahaja kerana hari Jumaat itu hari cuti di Kelantan, tetapi adalah kerana satu upacara khas yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz pada setiap pagi Jumaat, selepas selesai solat subuh.Selepas para jemaah mencium tangan Tok Guru, mereka pun akan beredar. Pada waktu itulah akan tampil pula orang-orang yang mendukung anak kecil (bayi),untuk menghulurkan anak mereka ke pangkuan Nik Aziz.

Nik Aziz yang masih di tempat duduknya seperti ketika menyampaikan kuliah tadi, akan menyambut bayi yang dihulurkan kepadanya, meletakkannya di atas ribanya, dan memulakan upacara 'membelah mulut' dan memotong rambut bayi tersebut.

Upacara ini mengambil masa kira-kira lima minit untuk seorang bayi. Setiap bayi disuap dengan sedikit makanan manis, seperti buah korma, kemudian digunting sedikit rambutnya, dan kemudian dibaca do'a. Semuanya dilakukan sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz.
Sepanjang yang saya saksikan, beberapa kali, tidak pernah saya melihat ada anak yang menangis ketika Nik Aziz melakukan upacara ini.

Bukan seorang dua bayi yang dihulurkan kepadanya pada setiap Jumaat. Beberapa kali yang saya hadir saya perhatikan tidak kurang daripada 10 orang. Dan pernah sekali itu begitu ramai, mungkin hingga 20 orang. Nik Aziz pun terpaksa berehat sebentar, dan ada orang pula mengurut badannya bagi mengembalikan tenaganya.

Pernah juga saya melihat dia berhenti untuk sembahyang sunat dhuha, dan kemudian sambung semula upacara tersebut.Sekali lagi, saya memikirkan bahawa yang sedang melakukan upacara ke atas anak-anak kecil itu, di subuh-subuh hari, adalah seorang menteri besar. Orang-orang yang membawa anak-anak kecil itu datangnya dari mana-mana saja, ada yang dari jauh, dan hampir semuanya tidak dikenali oleh Nik Aziz.Mereka datang mengharapkan keberkatan. Mereka datang, dan selepas mendapat layanan Tok Guru ke atas bayi mereka,mereka pun balik. Tinggallah Tok Guru masih meneruskan khidmat nya kepada mereka yang terus menghulurkan bayi ke pangkuannya. Daripada suasana subuh yang suram, hingga cahaya pagi sudah cerah dan matahari mulai melepaskan panasnya.

Orang ramai sudah pulang, tetapi Nik Aziz masih lagi melayani orang yang menghulurkan bayi kepadanya. Kata mereka, biar berapa ramai pun orang yang menghulurkan bayi kepadanya, Nik Aziz tidak akan menolak, kerana dia tak mahu menghampakan harapan orang yang telah bersusah payah dating dari jauh.

Pernah sekali itu dia sudahpun bangun dan melangkah hendak meninggalkan masjid, tetapi tiba-tiba ada lagi orang yang baru tiba dan membawa bayi kepadanya. Dia pun melayani juga.Dan saya pun terfikir: siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin negara, yang sanggup melayani rakyat seperti ini - seperti Tok Guru Nik Aziz ini?
Barangkali ada orang akan membuat tohmah: Nik Aziz sanggup melayani rakyat seperti itu, hingga akibatnya dia gagal menjalankan tugas membangun ekonomi negerinya. Insya-Allah saya akan menjawab tohmahan itu dalam kesempatan yang lain. DINSMAN

Sunday, July 02, 2006

Islam Hadhari

Bercakap mengenai tamadun, tidak akan lengkap hanya dengan memfokuskan rakyat untuk berjaya di dunia sahaja. Pembangunan di dunia wajib dihubung dengan akhirat. Ini baru dipanggil abadi yang sering disebut oleh Datuk Seri Abdullah. Keabadian itu sesuatu yang berterusan dari dunia hingga sampai hari kebangkitan dan berterusan di dalam kehidupan akhirat kelak.

Kita kena didik rakyat sembahyang kerana Allah SWT dan elakkan rasuah kerana Allah SWT. Tutup lesen Nite Club kerana Allah SWT dan didik remaja untuk tidak mendedahkan aurat dan elakkan pergaulan bebas kerana Allah SWT. Menguasai ilmu dan menjadi profesional kerana Allah SWT dan menjadi pemimpin yang adil dan tidak membazir kerana Allah SWT.

Laksana segala hukum dan peraturan dari Allah SWT, untuk Allah SWT dan demi Allah SWT. Semua ini diselaraskan dengan doa iftitah yang membawa maksud " Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku, kerana Allah SWT".

Inilah bentuk tamadun yang perlu dibangunkan. Inilah yang selalu kita sebut sebagai paksi. Mencantikkan bandar, memperbanyakkan jalan, mengindahkan lanskap taman, memanjangkan landasan terbang, mengukuhkan institusi pendidikan dengan infrastruktur terbaik dan melengkapkan fakulti perubatan dan hospital dengan kemudahan tercanggih - INI TIADA KHILAF. KITA TIADA PERBEZAAN.

Bagaimanapun, kita wajib kenal paksi terlebih dahulu sebelum mengajak rakyat kepada perubahan.

Nik Abdul Aziz Nik Mat