Monday, July 10, 2006

Saya tak minat politik

Mutaakhirin ini, walaupun sudah berpuluh tahun perkara ini dibahaskan, dibalahkan dan diperdebatkan, namun masih ada yang tidak memahami, samada yang sememangnya tidak faham, tidak mahu ambil faham dan ada yang melihat ia sebagai sesuatu yg buruk, penuh sepak terajang, caci mencaci dan sebagainya.
Ini antara sebab apabila ditanyakan mengenai politik, spontan mereka akan menjawab saya tak minat politik. Apabila tidak minat, mereka ini melihat ia sebagai sesuatu yang tidak wajib diambil tahu dan tidak perlu diambil tahu kalau tiada minat, seolah-olah ia adalah suatu hobi sedangkan sebenarnya ia suatu tuntutan kewajipan ke atas individu yang mukallaf dalam memilih dan menentukan kepimpinan negara samada yang bakal naik itu pemimpin yang adil ataupun pemimpin yang zalim, samada negara itu diperintah mengikut kehendak Al-Quran atau tidak, ia adalah sebesar-besar urusan umat dan berdosa mengabaikannya.
Politik dengan Agama tidak dapat dipisahkan : Suatu Penjelasan
Politik dengan agama tidak dapat dipisah. Kalau kita baca Fatawa yang dikeluarkan oleh Prof.Dr.Syeikh Yusuf Qardhawi bahawa memisahkan agama islam daripada politik ini boleh menyebabkan seseorang itu rosak aqidah.
Parti politik juga tidak boleh dipisah dengan agama. Islam menggangap semua perkara ada kaitannya dengan agama. Makan minum ada kaitan dengan agama, bercakap ada kaitan dengan agama, memerintah ada kaitan dengan agama, parti ada kaitan dengan agama, berkahwin ada kaitan dengan agama. Cuba bagitahu apa perkara yang tidak ada kaitan dengan agama.
Politik dalam bahasa arab disebut Siasah. Dalam Al-Quran disebut, dalam Hadith disebut. Dalam ayat 30 Suratul Baqarah. Ayat 30 Allah Taala berfirman yang bermaksud “ Ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku akan menjadikan seorang Khalifah di atas muka bumi “
Apa makna Khalifah ? Khalifah ataupun Khilafah. Makna Khalifah ditafsirkan oleh Para Ulama’, di antaranya Ibnu Khaldun menyebut dalam Kitabnya Al-Muqqadimah. Al-Imam Al-Mawardi, seorang Ulama besar dalam Mazhab Syafei menyebut dalam Kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyah, makna Khalifah ialah Khilafatun Nubuwah, Fi Hirasati Deen, Wa Siasati Dunya Bih.
Makna Khalifah ialah Pengganti Nabi dari segi menjaga ugama dan memerintah dunia dengan agama, mentadbir dunia dengan agama.
Sekali lagi diulangi, politik ini disebut dalam Al-Quran dan disebut dalam Hadith Nabi.“ Bani Israil itu, yang menjadi pemimpin politik mereka ialah nabi-nabi mereka, apabila seseorang nabi itu wafat, Allah gantikan nabi yang lain, begitulah seterusnya, sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Muhammad, Nabi akhir zaman, dia adalah Rasul dan dia adalah pemimpin negara. “
Petikan Ucapan ADUN Meranti, YB Ustaz Mohd Nassuruddin Haji Daud ( Sidang Dewan Negeri )

No comments: