
Tuesday, June 26, 2007
Kelantan Merintis Perubahan
KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN1. Cuti 2 hari seminggu
2. Cuti bersalin 60 hari
3. Pinjaman tanpa faedah
4. Pajak Gadai Islam (Ar-Rahn)
5. Rumah Tiga bilik
6. Menutup Premis Perjudian & Pusat Hiburan
7. Papan Iklan Wanita menutup aurat
8. Maahad Tahfiz Sainz
9. Bandar Raya Islam
10. Skim Takaful Warga Emas (percuma)
Friday, June 15, 2007
Tawadhuknya Menteri Besarku..
Tawadhunya Menteri Besarku, yang jelas tok guru sedang menuruni tangga masjid, agaknya baru sudah mengimami solat fardhu berjemaah...Itulah rutin hariannya, kalau tidak ada program di tempat lain, sudah tentunya di masjidnya sendiri, bersebelahan rumahnya. Beliaulah Ketua Kerajaan, dan beliaulah Imam Sembahyang, beliau juga mengajar masyarakat dan rakyat negerinya agama....mengajar takut pada Allah dan hari akhirat. The one and only in Malaysia and maybe in this world....Tok Guru, kami sayang padamu....Gambar ihsan Syeikh Kickdefella (www.kickdefella.wordpress.com). Thanks Syeikh...
Tuesday, February 27, 2007
Pendirian Tok Guru Nik Aziz
Islam wajib memimpin dan bukannya diatur, dipapah dan dipimpin bagi memenuhi hajat keduniaan. Sesuai dengan sifatnya yang ditanzilkan daripada Allah SWT yang Maha Tinggi dan Maha Mencipta alam seluruhnya, maka Islam perlu sentiasa diletakkan di atas. Sebarang usaha untuk meminggirnya atau berkongsi kuasa dengannya, apalagi menolaknya adalah sejenis syirik. Semuanya boleh dikira semacam pengkhianatan, penyelewengan dan ketidakadilan. Ini semata-mata kerana Adil itu ialah meletakkan sesuatu ditempatnya. Oleh kerana Islam itu tempatnya di atas, ia wajib berada di atas dalam serba serbi. Dalam semua keadaan, Islam mempunya Pasport Antarabangsa untuk keluar masuk bertutur daam apa jua isu tanpa berpintu.Demi memastikan penyertaan yang berkesan, Parti Islam Semalaysia cukup percaya yang bidang politiklah sektor kehidupan yang paling mustahak ditumpukan kerana ia berkaitan dengan kuasa. Pentingnya kuasa kerana ia mencorak dasar. Kuasa yang tidak dikuasai dengan betul dan amanah akan membawa kepada pelbagai penyalahgunaan. Ini Kezaliman. Islamlah penapisnya.
Petikan Buku Pendirian Nik Aziz
Wednesday, February 21, 2007
KERAJAAN KEBAJIKAN
Warga Emas diKELANTAN dilindungi TAKAFULSehubungan itu sebanyak RM3 juta bagi membiayai skim insurans kepada warga emas di bawah Skim Perlindungan Sosial Takaful diperuntukan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, cadangan itu akan dibentang pada persidangan Dun November ini.
"Sekiranya ia diluluskan, bermula Januari tahun hadapan warga emas berpeluang menyertai skim insurans perlindungan tersebut. Pencarum akan menerima pampasan apabila mereka meninggal dunia," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 59 orang kurang upaya (OKU) di Dun Salor, baru-baru ini.
Di Kelantan sekarang dikenalpasti terdapat seramai 110,000 warga emas. Skim itu diberi keutamaan kepada warga emas yang daif, miskin dan mempunyai tanggungan ramai. Setiap mereka akan dicarum sebanyak RM25 setahun.
Husam juga berkata, bagi Tabung OKU kerajaan negeri akan menaikkan jumlah peruntukan daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun hadapan.
Pada majlis itu setiap OKU menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat antara RM300 hingga RM600. Turut hadir hadir Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaakob.
Monday, February 12, 2007
Keistimewaan Tok Guru Nik Aziz yang sukar ditandingi
Lazimnya masyarakat bukan Islam memiliki persepsi negatif terhadap kelompok, badan atau mana-mana Gerakan Islam. Persepsi ini muncul sebahagiannya kerana gambaran buruk yang diberikan oleh musuh-musuh Islam khasnya dari Barat terhadap Islam itu sendiri.Islam militan, Islam ektrimis, Islam radikal adalah sebahagian dari istilah yang dicipta oleh pihak-pihak ini
Manakala kalangan sesama masyarakat Islam juga tidak kurang turut menyumbang ke arah pandangan negatif ini. Dari merekalah lahirnya Islam sekular, Islam moderat dan kini Islam Hadhari, yang cuma menambah bingungkan lagi pemahaman masyarakat bukan Islam terhadap Islam yang sebenarnya.
Salah seorang tokoh di Malaysia bagi saya yang bersungguh berusaha ke arah memperbetulkan keadaan ini adalah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, MB Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS.
Sejak sebelum menjadi MB lagi (sepanjang beliau sebagai ahli Parlimen Kelantan Hilir dan kemudiannya Pengkalan Chepa) beliau dilihat begitu komited dalam hal ini.
Cuma apabila diberikan amanah sebagai MB, maka usaha ini telah dipertingkatkan lagi oleh beliau sehingga berjaya menempa beberapa pembaharuan yang selama ini gagal dicetuskan oleh pihak lain.
Semasa Majlis Makan Malam dan Dailog anjuran PAS Shah Alam di sebuah hotel di Kelang baru-baru ini Tok Guru memberitahu para hadirin darihal projek pembangunan dan pembesaran yang sedang dijalankan di sekolah beliau di Pulau Melaka. Para hadirin kagum apabila beliau memaklumkan secara terbuka bahawa salah seorang penyumbang yang menyumbang dana bagi pembangunan sekolah tersebut adalah seorang pemimpin masyarakat Tionghua yang bukan Islam di Kelantan yang telah menyalurkan bantuan hampir RM1 juta ringgit.
Kalau membina rumah anak yatim atau memberikan biasiswa atau bantuan kepada masyarakat miskin, barangkali tidaklah menghairankan kalau masyarakat bukan Islam turut menyumbang membantu masyarakat Islam yang tidak bernasib baik, akan tetapi jarang malah bagi saya sendiri langsung tidak pernah mendengar masyarakat bukan Islam dengan senang hati menyumbang kearah pembinaan sebuah pusat yang bakal mentarbiyah dan mengeluarkan tenaga-tenaga ulamak Islam.
Bagi saya inilah keistimewaan Tok Guru Nik Aziz. Beliau dilihat termasuklah oleh masyarakat bukan Islam sebagai seorang tokoh ulamak dan pemimpin negeri yang bersih, yang mudah dan senang bercampur dengan masyrakat, yang serba sederhana, tidak rasuah dan tidak berjoli-joli.
Oleh itu apabila beliau memohon sumbangan untuk meneruskan kerja-kerja beliau, masyarakat Islam dan bukan Islam dengan senang hati menyumbang. Kerana mereka tahu beliau akan menggunakannya sepenuhnya sumbanga itu nanti untuk apa sahaja tujuan yang beliau isytiharkan itu.
Kalau dengan sumbangan mereka itu mereka mengharapkan pula sesuatu pembalasan sebagaimana situasi yang normal di Malaysia, maka pasti mereka tidak akan mencari Nik Aziz. Kalau orang lain atau negeri lain mungkin, tetapi dari Nik Aziz apa yang dapat diharapkan balik cumalah sepotong senyum gembira dan ucapan terima kasih yang terbit dari hati kecilnya.
Bagi saya peristiwa ini membuktikan masyarakat bukan Islam sendiri begitu hormat dan memandang tinggi kepada MB mereka ini. Bagi saya peristiwa ini membuktikan yang Tok Guru telah berjaya membentuk rakyatnya agar berkejar-kejar mengerjakan kebaikan dan kebajikan samada mereka dari yang bukan Islam, lebih-lebih lagi dari kalangan yang sudah Islam.
Dinamisma Tok Guru ini sebenarnya telah melahirkan masyarakat Islam dan bukan islam yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain di Kelantan. Tok Guru biasa hadir menyampaikan watikah kepada ketua sami Buddha di Wat Siam di Kelantan, setiap tahun beliau hadir menyambut Tahun Baru Cina di rumah pimpinan masyarakat Cina, beliau menyalurkan bantuan kepada masyarakat bukan Melayu dan ke sekolah-sekolah Cina, belia melantik Penghulu dan ahli-ahli majlis dikalangan masyarakat bukan Melayu dan sebagaimana yang kita ketahui beliau juga melantik seorang ahli EXCO berbangsa Cina iaitu yang pertama di Kelantan: Dato Hj Anuar Tan.
Segala-gala beliau lakukan untuk memberikan gambaran yang sebenarnya berkenaan Islam.Alangkah betuahnya kita jika lahir lebih ramai yang seumpama beliau dalam Negara ini.
Tuesday, October 10, 2006
Syariat Islam yang dilaksanakan

- Tidak mengeluarkan lesen premis untuk kegiatan perjudian dan tempat-tempat yang menjadi punca maksiat.
- Tidak dibenarkan dibuka kelab malam
- Menghapus kegiatan pelacuran
- Menggalak dan menguatkuasakan etika pakaian Islam (menutup aurat) dan menjadi syarat pengeluaran lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan.
- Pengawalan kedai gunting - elak wanita menggunting lelaki.
- Menyusun semula penjualan arak mulai 1 Jualai 1993 semua jenis arak tidak dibenarkan lagi diminum ditempat awam, termasuk hotel-hotel, restoren-restoren atau pun kedai-kedai makan. Namun begitu orang bukan Islam boleh minum di rumah-rumah kediaman mereka atau pun tempat-tempat yang bukan tempat awam.
- Tidak mengeluarkan lesen premis kepada pusat hiburan dan permainan snooker dan billiad.
- Memperbanyakkan papan tanda berunsur dakwah.
- Melarang papan tanda (iklan) yang memperaga wanita dan bercanggah dengan Islam
- Meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 (1993)
- Meluluskan Dasar Kebudayaan Negeri berterapkan perinsip Islam 1998.
- Meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri 1998 yang mengutamakan nilai-nilai keislaman. Walau pun begitu sebarang hiburan atau kebudayaan yang tidak bercanggah dengan Islam dibenarkan.
- Meluluskan Dasar Pelancongan Negeri berprinsipkan Islam.
Satu-satunya negeri yang tiada Kelab Malam, tiada pub dan KeraOK, tiadanya pesta konsert dan dangdut ialah Kerajaan pimpinan Tuan Guru Nik Aziz. Adakah kerajaan Kelantan yang sesat atau kerajaan Pusat yang sesat. Tepuk dada, tanya iman masing-masing.....jangan cemarkan tangan yang mengangkat syahadah ketika tasyahud dengan memangkah Parti yang menolak Islam, parti yang menganjurkan maksiat siang dan malam, parti yang memberi lesen kepada pusat-pusat judi.....kelak nanti kita akan dipersoalkan siapa yang kita pilih untuk memimpin kita.
Wallahua'lam
Monday, October 02, 2006
Usaha kami Kerajaan PAS Kelantan
Dalam konteks Negeri Kelantan, kami mempunyai cukup banyak bukti kesungguhan kami menentang kerja-kerja yang boleh mendatangkan dosa. Antara lainnya, sejak mula diberikan amanah pada tahun 1990, Kerajaan Negeri memerintahkan agar akaun simpanan dari bank-bank konvensional milik kerajaan dipindahkan ke Bank Islam. Kami mengawal premis penjualan dan penggunaan minuman keras. Kami haramkan judi. Kami menggalakkan wanita menutup aurat. Kami mempelopori sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahn). Kami mengawal pertunjukan hiburan melalui Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat hiburan 1998. Kami kawal dan ubahsuai pertunjukan wayang kulit.
Kami mewajibkan penyediaan 3 bilik sekurang-kurang untuk semua projek perumahan awam kos rendah. Kami meluluskan enakmen hudud dalam Dewan Undangan Negeri sejak tahun 1992 lagi dan cuba melaksanakan hukum hudud dan qisas walaupun sehingga kini masih tidak dapat dilaksanakan kerana dihalang oleh pihak Umno yang menguasai kerajaan Pusat. Ini semua adalah usaha-usaha pro aktif dan pre emptif. Kelantan sedar akan bala yang boleh dilancarkan oleh Allah SWT pada bila-bila masa jika mana-mana pihak berkuasa terus berbuat dosa, menaja dosa dan maksiat.
Petikan Pendirian Nik Abdul Aziz 18 ( Tsunami )
Wednesday, July 12, 2006
Debat: Sila hantar surat segera - Nik Aziz
PERTAMANYA, saya wajar mengucapkan terima kasih di atas pelawaan Menteri Penerangan menjemput saya ke Debat Perdana. Beliau menjemput saya kerana Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan telah terlebih dahulu menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan saya. Itu pun di atas tajuk RMK9. Ertinya, jika dalam 'survey' awal itu, katakan Annuar Musa enggan, tentu Dato’ Zainudin tidak akan menghulur turun tangga jemputan agar saya naik ke Angkasapuri untuk bersama menyelami rahsia RMK9.
Persoalan kedua, apa sangatlah yang rahsianya mengenai RMK9. Ia adalah penerusan RMK8, RMK7 dan RMK6. Ia cerita memperuntukkan sejumlah wang lima tahun sebuah Rancangan Pembangunan Malaysia. Ini soal rutin. Pergilah ke mana-mana negara sekalipun. Ia normal. Sejak saya menjejakkan kaki saya di parlimen di tahun 1967, saya sudah tahu apa itu Rancangan Lima Tahun . Ketika itu, saya tak tahulah orang yang nak di suakan kepada saya itu sedang berada di mana.
Ketiga, mana ada rancangan pembangunan lima tahun mana-mana negara yang tidak ada pernyataan visi, misi, angka-angka peruntukan dan pasukan pelaksana dalam satu rangka peralihan paradigma berikutan dengan berlakunya perubahan masa, waqi’ dan suasana? Paradigma itu pula akan menetap dan mendefinisi sempadan dan menentukan bagaimana jentera kerajaan serta rakyat harus bertindak untuk berjaya (how to behave inside the prescribed boundaries) dalam sebuah rancangan Lima Tahun itu. Itu saja. Selebihnya ialah soal pemantauan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.
Di tengah-tengah tempoh pelaksanaan itulah pula ghalibnya, rakyat akan di sumbat dengan leteran-leteran pemimpin yang bercakap besar. Kemudian, di hujung pelaksanaan Rancangan-Rancangan Malaysia itu pulalah, kita lazimnya akan dikejutkanlah dengan angka-angka kegagalan. Pemimpin Umno pun mulalah buat-buat menunjukkan muka prihatinnya yang kononnya sangat terkejut, berkedut dan berkerut. Lalu, dibuatlah pula kajian separuh penggal untuk nantinya dijadikan ulam rangup dalam Perhimpunan Agung Umno.
Buat-buat bising sikit. Tunjuk-tunjuk keris sikit. Laung kuat-kuat sikit, sumpah keramat “takkan Melayu hilang di dunia”. Minum-minum. Ketawa-ketawa. Berdamai semula Pemuda, Puteri dan Wanita. Bersalaman. Kemudian, balik lipat-lipat selendang dan ulang kerja yang sama. “Tender ini, kita nak bagi pada sapa. Dia orang kita atau bukan orang kita”. Umnoputra lagilah. Di tahun 2020 nanti, kita akan masih di sini lagilah!
Pada saya, berdebat atas perkara cabang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Pada saya, RMK9 adalah perkara cabang. Ia ranting dan bukan pokok kepada ranting. Lihat saja kandungan persoalan yang di bawa oleh Nabi Ibrahim 'alaihissalam misalnya. Pertanyaan Ibrahim berbunyi, “apa yang tuan-tuan sembah?” Ibrahim tidak menyertai Namrud, bahkan tidak dijemput pun dalam debat tentang bagaimana nak membangun dan berebut-rebut harta karun ketika berjuang?
Pada saya, masalah Malaysia ialah masalah yang lebih besar. Ia adalah masalah akidah dan keimanan yang lebih tunjang. Malaysia beriman dengan apa dan bertuhankan siapa? Ini perkara pokok yang tiada kompromi. Ia perlu dimuzakarahkan dan diceramahkan segera.
Kelirukan persoalan pokok inilah yang membawa Malaysia meraih malapetaka demi malapetaka di sepanjang Rancangan Rancangan Lima Tahunnya.Sudah hampir 45 tahun begitu dan malangnya kita sekali lagi digesa untuk menyertai debat di atas tajuk yang sama. Kesan akhirnya, kita boleh lihat. Itu-itulah juga. SERUPA. Bahkan semakin menjunam.
Jika ikut bahasa orang korporat ia di sebut, “the bottom line is still the same.” SAMA. Malaysia yang serba ketinggalan. DEB yang kegagalan. Ekuiti Melayu yang sangat mendukacitakan. Pengangguran melibatkan puluhan ribu graduan. Wang PPRT yang lesap dibaham. Minyak naik pagi dan petang. Inflasi merata di pekan dan bendang. Ada sejuta penagih dadah yang majoritinya anak Melayu dari kumpulan marhean dan elit bangsawan.
Demikian juga dengan seriusnya pengidap AIDS sehingga terpaksa diedar percuma kondom dan jarum. Sumbang mahram. Dakwaan usus babi di dalam sosej. Fenomena zina yang kronik dan gaya hidup gay yang berkembang. Gejala murtad yang mengorbankan hampir 250 ribu anak-anak orang Islam. Buang anak di merata-rata. Negara di isytiharkan Islam tetapi pelaksanaan hukum hudud ditolak. Bahkan, disaman oleh siapa lagi jika tidak oleh pemimpin Umno yang sangat kemelayuan. Dedah. Rasuah dan belasah. Senarai kegagalan negara di bawah teraju Umno tidaklah terbilang !
Pendek kata begini sajalah. Saya akan sanggup berceramah secara bersama di pentas yang sama dengan Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Zainudin Maidin atau Annuar Musa atau sesiapa saja; baik di rumah mereka atau di rumah saya atau di rumah orang. Jika perlu di padang sekalipun, maka sila tetapkan di mana-mana padang. Saya sangat bersetuju jika ia di siarkan “live” oleh RTM. Jangan ada potong-memotong. Kita berkeris secara gentlemen.
Saya tidak boleh bersetuju dengan debat yang ada pengerusi. Lebih-lebih lagilah jenis pengerusi yang sama-sama dapat kita saksikan sekarang dalam Rancangan-Rancangan Debat Perdana. Tuan-tuan lebih arif maksud saya ini.
Saya dengan ini telah menyatakan kesediaan saya untuk berceramah di atas tajuk “Dasar dan Akidah Sesebuah Negara”. Sekarang, saya telah nyatakan hujah dan rasional saya. Sekarang, bola sudah kembali ke kaki Sdr Zainudin. Saya sedang berdiri di atas padang mulai sekarang. Sila hantarkan surat jemputan
Monday, July 10, 2006
Saya tak minat politik
Hentikan Debat Islam Hadhari
Seruan dalam ruang Agama Mingguan Malaysia yang menganjurkan semua pihak “hentikan debat mengenai slogan dan istilah Islam Hadhari” benar-benar mengesahkan bahawa istilah itu telah mencetuskan banyak kekeliruan dan syak akan maksud dan tujuannya.Kita sangat boleh bersetujulah dengan kenyataan Dr. Ismail Ibrahim yang berbunyi, “Islam itu satu, iaitu satu agama yang datangnya daripada Allah untuk umat manusia seluruhnya, bukan untuk orang Inggeris atau Melayu, atau Arab dan orang Afrika, bukan untuk orang UMNO atau PAS.” (Mingguan Malaysia 4 Julai 2004). Inilah pun yang selalu saya tegaskan. Saya boleh sahkan juga di sini bahawa apa yang dipetik oleh Dr. Ismail dengan mengambil kata-kata saya yang berbunyi, “Islam itu merangkumi Islam dan iman iaitu Islam di luar dan iman di dalam”adalah benar. Kata-kata saya yang berbunyi, “Islam yang tidak menyebut soal pegangan kepada Al-Quran dan Hadith adalah ditolak” seperti yang dipetik oleh Dr. Ismail selanjutnya juga adalah benar.
Jika semua kenyataan ini adalah benar, maka Islam dari jenis lain, yang tidak mahu sebut Al-Quran dan Hadith tentunya Islam kosmetik. Islam Hadhari cuma bercelak dan berbedak seperti yang diumpamakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu.
Namun, pendapat saya mungkin berbeza sedikit apabila melihat anjuran Dr. Ismail supaya umat Islam menghentikan perbincangan atau perdebatan mengenai Islam Hadhari. Tidakkah berbincang, berbahas dan bermuzakarah adalah semangat Islam? Allah S.W.T. mengizinkan manusia berdebat dan bermuzakarah dalam apa jua perkara. Cuma hakimnya ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan Hadith sebagai sumber pemutus yang qat’in.
Dalam semangat menjelas dan memberikan keterangan, apa yang PAS jadikan motto cuma berbunyi “Membangun Bersama Islam”. Kami tidak berhajat sedikitpun untuk mendefinisi semula Islam. Ia adalah Islam yang satu. Ia wajib asli. Ia mesti original seperti yang dilancarkan oleh Rasulullah S.A.W. kira-kira 1,425 tahun dahulu tanpa tokok tambah. Kita berpuas hati dan redha dengan Islam yang syumul, kamil dan komprehensif dan biar ianya kekal begitu sampai bila-bila. Jika kita perlu bangun, kita perlu bangun bersama dengan Islam. Jika saya pinjam kata-kata Dr. Ismail, “Islam yang hendak diberi kefahaman itu adalah Islam hakiki dan fundamental dimana asas komponennya terdiri dari akidah, syariah dan akhlak.” Inilahpun yang PAS sedang berikhtiar.
Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan telah memindahkan akaun Kerajaan ke dalam Bank Islam. Kerajaan Negeri juga mengeluarkan pekeliling dan kempen bagi menggalakkan amalan penutupan aurat. Kita juga menyediakan sistem pajakan alternatif secara Ar-Rahn. Kita wajibkan semua Rumah Awam Kos Rendah dibina dengan 3 bilik. Kita kawal premis penjualan arak. Kita tutup semua premis judi. Kita adakan kawalan hiburan melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. Kita adakan Yayasan Islam Kelantan dan asaskan sistem pendidikan yang berpaksikan adab, akhlak, ilmu dan amal. Tidakkah usaha-usaha ini di asaskan di atas kesedaran akidah, syariah dan akhlak? Semuanya ini telah kita laku dan akan terus kita ikhtiarkan. Inilah membangun bersama Islam. Kami tidak ‘modify’ Islam atau mengistilahkan Islam dengan tokok tambah yang lain. Islam adalah Islam. Kami cuma menurut, patuh dan mengikut kehendak Islam untuk membangun.
Apa yang menimbulkan kesangsian ialah apabila Islam itu pandai-pandai dijenamakan dengan Islam Madani dan kini Islam Hadhari. Lepas satu jenama ke satu jenama; Islam itu diarak. Islam dibawa berpindah randah tanpa diketahui akan kepentingannya.
Tentunya apa yang mustahak ialah soal amalnya. Sekali lagi saya boleh bersetuju dengan Dr. Ismail yang menekankan faktor ilmu dan pengisiannya. Jika begitu, apa perlunya dipecah-pecahkan Islam kepada hadhari atau non-hadhari? Perlu apa pula dicerai-ceraikan Islam itu kepada pecahan-pecahan yang menyerupai sub-budaya (sub-culture) seperti Islam toleransi, Islam hikmah, Islam dinamik dan Islam Pembangunan. Inipun juga telah dipersoalkan oleh Dr. Ismail dengan kata-kata, apalah bezanya Islam Hadhari dengan Islam dinamik, Islam tamadun dan Islam toleransi?
Kita perlu faham yang setiap sesuatu perlu betul niatnya. Biar ada usul ‘zukhrina’ yang bererti cagaran. Jika suntuk dan kesukaran di akhirat, amal yang dilaksanakan di dunia boleh dijadikan cagaran di hadapan Allah. Islam Hadhari Umno dan negara Islam yang diisytiharkan Umno ini bolehkah dijadikan cagaran? Negara Islam bagaimana jika tanpa apa-apa perubahan? Islam jenis ini yang menghalalkan arak, judi dan tiada halangan untuk bergaula bebas dan mendedahkan aurat dapatkah dijadikan cagaran di akhirat?
Hatta jika di dalam sembahyang yang riak pun tidak diterima oleh Allah kerana rosak niatnya maka bagaimana Islam Hadhari boleh dijadikan sandaran dan tempat bergantung untuk berhujah di hadapan Allah kelak? Niat mesti betul. Struktur mesti betul. Jangan main suka-suka.
Keadaan menjadi semakin kalut apabila Pemimpin UMNO mula di asak dengan pertanyaan. Mereka kelihatan mulai lemas. Mereka cuba mencari ulama’ setempat termasuk dari timur dan barat untuk menghalalkan konsep “hadhari”nya. Kalau hadhari itu bermakna tamadun, maka Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS telah membinanya dalam bentuk tindakan.
Jika mahu bertahan sangat dengan Islam Hadhari atau Islam tamadun yang kelihatan cuba dipaksa masuk ke kerongkong rakyat, maka kami tidak ada masalah. Kami telah menjadi pelopor sekurang-kurannya sejak dari tahun 1990 lagi. Di masa itu, saya kurang pasti pemimpin UMNO sedang berada di mana! Kini, setelah 15 tahun berlalu, mereka sibuk berhadhari pula.
Belumpun selesai melumatkan usaha penerapan nilai-nilai Islam, dan belumpun reda nafas kerana masih mengah mahu mengislamkan negara yang tidak juga-juga menjadi Islam; kini mereka mahu menjual jenis Islam dalam peket bedak hadhari! Yang kelirunya ialah rakyat. Mereka seakan-akan sengaja melontar bom asap dan dalam kelam asap itulah mereka melakar semula wajah Islam supaya selaras dengan nafsu sekular. Pada saya,Islam Hadhari itu adalah Islam sekular. Ia sejenis Islam yang di bancuh semula oleh Umno untuk memisahkan dunia dari akhirat.
Dalam hal ini, kita sesungguhnya amat kesiankan rakyat khususnya para penjawat awam. Merekalah yang sering menjadi mangsa dan kumpulan sasar untuk disyarahkan. Faham tak faham, itu perkara kedua. Mereka dikurung dalam kem latihan dan pelbagai dewan dan institut kefahaman di segenap ceruk rantau untuk disogok dengan Islam berbaju baru. Debat tidak perlu. Terima saja! Saya sesungguhnya khuatir. Jangan-jangan rakyat lebih faham apa itu Islam sebenar. Mereka lebih arif dari pemimpin Umno. Mereka lebih kenal jenis Islam saduran yang berwajah pepat mainan Umno. Bunganya lebat, wanginya tidak. Pisangnya hangus, masaknya tidak !
Monday, July 03, 2006
Tok Guru Menteri Besar


Seminggu dalam kehidupan Tok Guru Nik AzizKami cuba merakamkan pergerakan Tok Guru Nik Aziz yang menjadi rutin kehidupan hariannya dalam seminggu, bermula daripada dia keluar rumah di waktu pagi hinggalah dia pulang ke rumah di waktu malam, iaitu pergerakan yang boleh menjadi perhatian umum - tidak yang bersifat peribadi dan rahsia.
Pergerakan umum Nik Aziz pada setiap hari bermula dengan perjalananya ke masjid untuk solat subuh. Jarak rumahnya dengan masjid sangat dekat. Bumbung masjid dengan bumbung rumahnya hampir bertemu. Daripada tangga pintu depan rumahnya ke tangga pintu khas masjid, seperti yang saya hitung langkahnya berdasarkan gambar video yang dirakamkan pada suatu subuh di bulan Oktober lalu, ialah 19 langkah.
Sekiranya dia berada di rumah, dan dia tidak sakit, pintu depan rumahnya pasti terbuka tidak lama selepas berakhirnya laungan azan subuh, iaitu sebelum pukul 6.00 pagi. Nik Aziz akan melangkah turun dari rumahnya, masuk masjid, dan mengimami jemaah solat subuh.Selepas solat dia membaca wirid atau bacaan selepas solat, yang apabila sampai kepada bacaan ayat Kursi, para jemaah yang di bahagian depan akan bangun untuk berubah tempat, duduk semula mengelilinginya dalam jarak yang sangat dekat. Pergerakan ini berlaku seperti secara otomatis dan cepat.
Mereka yang biasa berjemaah di situ terus melakukannya seperti spontan, sama ada pelajar mahupun orang dewasa. Sudah terbiasa begitu. Selesai ayat Kursi, Nik Aziz pun membuka kitab yang sudah diletakkan di atas rehal di sebelah kanan tempat duduk sembahyangnya. Dia pun memulakan kuliah subuh, yang merupakan kuliah atau ceramahnya yang pertama untuk hari itu.
Ini berlaku pada setiap hari. Seawal itu, Nik Aziz yang kini sudah 11 tahun menjadi Menteri Besar negeri Kelantan, memulakan tugasnya kepada rakyat - mengajar ilmu agama. Seawal jam 6.15 pagi. Begitu dia melakukannya bertahun-tahun sejak belum menjadi menteri besar pada tahun 1990, dan begitulah juga dia melakukannya setelah menjadi menteri besar, sampailah sekarang.Dia terus mengajar begitulah. Setiap hari, selepas solat subuh. Dan kuliahnya itu adalah sebahagian daripada wirid solatnya, kerana dia memulakan kuliah selepas membaca ayat Kursi, dan sebaik saja selesai kuliah dia pun menyambung semula wiridnya, dengan zikir subhanallah? dan seterusnya hingga selesai do'a.
Sebaik saja selesai do'a, para jemaah di sekelilingnya - pelajar mahupun orang dewasa - terus bersalam dan mencium tangannya, seorang demi seorang.Ketika mula-mula menyaksikan adegan ini dulu, saya agak terharu. Kebetulan waktu itu yang ramai mengelilinginya ialah para pelajar SM Darul Anuar - sekolah yang berada hampir dengan rumah Nik Aziz, dan menjadi sebahagian daripada persekitaran rumahnya sejak bertahun-tahun.
Saya membayangkan adegan seperti itu berlaku pada setiap pagi. Saya melihatnya dari segi hubungan intim Tok Guru dengan anak-anak muridnya.Begitu intim sekali. Tiap-tiap subuh, menjadi sebahagian daripada kegiatan solat, mereka duduk rapat mengelilingi Tok Guru, mendengar dia mengajar(walaupun ada yang mengantuk).
Saya tertarik memikirkan mereka itu bangun untuk duduk semula rapat dengan Tok Guru, sedangkan mereka boleh saja menadah telinga mendengar Tok Guru mengajar dari tempat duduk mereka yang asal, tak perlu bangun berubah tempat.Tetapi mereka bangun mengubah tempat untuk duduk rapat dengan Tok Guru. Dan Tok Guru itu (sejak 11 tahun yang lalu) adalah orang yang sama yang menjadi Menteri Besar negeri itu. Jadi, setiap pagi, mereka ber kesempatan duduk dalam suasana yang begitu intim dengan seorang Tok Guru yang juga Menteri Besar.
Tak tahulah bagaimana dan bila mula terjadinya keadaan duduk yang seperti itu. Nik Aziz sendirikah yang mengaturnya demikian, atau bagaimana -itu semua tidak mustahak. Yang mustahaknya, saya melihat keadaan itu agak mempesona. Saya melihat jalinan hubungan yang intim itu terjadi pada setiap pagi. Saya melihat seorang Menteri Besar memulakan harinya dengan mengajar agama, dalam suasana hubungan guru-murid yang begitu intim, selepas mengimami solat subuh.
Dan saya terfikir - siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin negara, yang memulakan harinya seperti itu - seperti Tok Guru Nik Aziz itu?(Seorang kawan saya di Kota Bharu, Zainuddin, bertanya saya apakah saya mengikuti kehidupan Imam Khomeini? Jawab saya: Tidak, saya tidak mengikuti.Jadi saya tak dapat membuat bandingan.)Setelah itu, Nik Aziz akan berjalan keluar masjid menuju ke rumahnya.
Perjalanan yang kurang daripada 20 langkah itu kadang-kadang terganggu atau dihalang pula oleh kehadiran orang yang hendak bertemu dengannya, sama ada sebagai menteri besar ataupun sebagai Tok Guru.Tidak ada orang yang akan menghalang sesiapa pun yang hendak bertemu dengannya. Semua orang boleh bertemu. Terus saja halang perjalanan dia disitu, dan cakaplah apa-apa pun.
Jemaah pada subuh Jumaat biasanya lebih ramai daripada hari-hari lain. Bukan sahaja kerana hari Jumaat itu hari cuti di Kelantan, tetapi adalah kerana satu upacara khas yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz pada setiap pagi Jumaat, selepas selesai solat subuh.Selepas para jemaah mencium tangan Tok Guru, mereka pun akan beredar. Pada waktu itulah akan tampil pula orang-orang yang mendukung anak kecil (bayi),untuk menghulurkan anak mereka ke pangkuan Nik Aziz.
Nik Aziz yang masih di tempat duduknya seperti ketika menyampaikan kuliah tadi, akan menyambut bayi yang dihulurkan kepadanya, meletakkannya di atas ribanya, dan memulakan upacara 'membelah mulut' dan memotong rambut bayi tersebut.
Upacara ini mengambil masa kira-kira lima minit untuk seorang bayi. Setiap bayi disuap dengan sedikit makanan manis, seperti buah korma, kemudian digunting sedikit rambutnya, dan kemudian dibaca do'a. Semuanya dilakukan sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz.
Sepanjang yang saya saksikan, beberapa kali, tidak pernah saya melihat ada anak yang menangis ketika Nik Aziz melakukan upacara ini.
Bukan seorang dua bayi yang dihulurkan kepadanya pada setiap Jumaat. Beberapa kali yang saya hadir saya perhatikan tidak kurang daripada 10 orang. Dan pernah sekali itu begitu ramai, mungkin hingga 20 orang. Nik Aziz pun terpaksa berehat sebentar, dan ada orang pula mengurut badannya bagi mengembalikan tenaganya.
Pernah juga saya melihat dia berhenti untuk sembahyang sunat dhuha, dan kemudian sambung semula upacara tersebut.Sekali lagi, saya memikirkan bahawa yang sedang melakukan upacara ke atas anak-anak kecil itu, di subuh-subuh hari, adalah seorang menteri besar. Orang-orang yang membawa anak-anak kecil itu datangnya dari mana-mana saja, ada yang dari jauh, dan hampir semuanya tidak dikenali oleh Nik Aziz.Mereka datang mengharapkan keberkatan. Mereka datang, dan selepas mendapat layanan Tok Guru ke atas bayi mereka,mereka pun balik. Tinggallah Tok Guru masih meneruskan khidmat nya kepada mereka yang terus menghulurkan bayi ke pangkuannya. Daripada suasana subuh yang suram, hingga cahaya pagi sudah cerah dan matahari mulai melepaskan panasnya.
Orang ramai sudah pulang, tetapi Nik Aziz masih lagi melayani orang yang menghulurkan bayi kepadanya. Kata mereka, biar berapa ramai pun orang yang menghulurkan bayi kepadanya, Nik Aziz tidak akan menolak, kerana dia tak mahu menghampakan harapan orang yang telah bersusah payah dating dari jauh.
Pernah sekali itu dia sudahpun bangun dan melangkah hendak meninggalkan masjid, tetapi tiba-tiba ada lagi orang yang baru tiba dan membawa bayi kepadanya. Dia pun melayani juga.Dan saya pun terfikir: siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin negara, yang sanggup melayani rakyat seperti ini - seperti Tok Guru Nik Aziz ini?
Sunday, July 02, 2006
Islam Hadhari
Bercakap mengenai tamadun, tidak akan lengkap hanya dengan memfokuskan rakyat untuk berjaya di dunia sahaja. Pembangunan di dunia wajib dihubung dengan akhirat. Ini baru dipanggil abadi yang sering disebut oleh Datuk Seri Abdullah. Keabadian itu sesuatu yang berterusan dari dunia hingga sampai hari kebangkitan dan berterusan di dalam kehidupan akhirat kelak.Kita kena didik rakyat sembahyang kerana Allah SWT dan elakkan rasuah kerana Allah SWT. Tutup lesen Nite Club kerana Allah SWT dan didik remaja untuk tidak mendedahkan aurat dan elakkan pergaulan bebas kerana Allah SWT. Menguasai ilmu dan menjadi profesional kerana Allah SWT dan menjadi pemimpin yang adil dan tidak membazir kerana Allah SWT.
Laksana segala hukum dan peraturan dari Allah SWT, untuk Allah SWT dan demi Allah SWT. Semua ini diselaraskan dengan doa iftitah yang membawa maksud " Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku, kerana Allah SWT".
Inilah bentuk tamadun yang perlu dibangunkan. Inilah yang selalu kita sebut sebagai paksi. Mencantikkan bandar, memperbanyakkan jalan, mengindahkan lanskap taman, memanjangkan landasan terbang, mengukuhkan institusi pendidikan dengan infrastruktur terbaik dan melengkapkan fakulti perubatan dan hospital dengan kemudahan tercanggih - INI TIADA KHILAF. KITA TIADA PERBEZAAN.
Bagaimanapun, kita wajib kenal paksi terlebih dahulu sebelum mengajak rakyat kepada perubahan.
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tuesday, June 27, 2006
Hiburan Yahudi
Cubalah berfikir secara 'orang tua'. Bertanggungjawab dan beramanahlah dalam memikul kuasa. Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat bukan kosong. Pengundi adalah kebanyakannya ibubapa. Walaupun ibubapalah yang mencorak pendidikan anak-anak sama ada mereka akhirnya menjadi yahudi atau nasrani tetapi apa pilihan ibubapa apabila kuasa yang ada di tangan pemerintah tidak pernah jemu menghidangkan hiburan yang menyerupai hiburan orang yahudi dan nasrani. Saya berani katakan yang hiburan corak ini sangat direstui oleh pemimpin yahudi. Jika kita mahu pastikan benar atau tidaknya pandangan ini, pergilah tanya Presiden Bush, Tony Blair, Vladimir Putin atau Shirac.Petikan buku Pendirian Nik Abdul Aziz 16
